Sebagai sebuah organisasi yang sentiasa prihatin terhadap keperluan komuniti setempat, Protasco telah membuat kunjungan sempena Hari Raya Aidilfitri ke Pusat Jagaan Sri Mesra atau lebih dikenali sebagai Mesra Home Ampang. Seramai 20 orang sukarelawan dari anak-anak syarikat Protasco telah menyertai Khidmat Komuniti Aidilfitri ini pada 26 Jun 2019 untuk sama-sama menyantuni lebih daripada 20 warga emas bagi menceriakan dan meluangkan masa bersama mereka pada musim perayaan ini. Aktiviti yang dijalankan ini merupakan tanggungjawab sosial korporat bagi memenuhi usaha ke arah kelestarian sosial dan komuniti setempat.

Dalam majlis itu, Pengurus Kanan Jabatan Komunikasi Korporat Protasco Berhad, Marina Jaal mewakili pihak syarikat menyampaikan pelbagai barangan keperluan harian dan juga duit raya kepada penghuni Mesra Home. Aktiviti murni ini merupakan usaha berterusan yang akan dijalankan pihak syarikat dari semasa ke semasa.