Pada 20 Februari 2020, telah berlangsung Hari Inovasi JKR Negeri Pahang 2019 bertempat di Hotel Ancasa Royale, Pekan, Pahang. Program tahunan ini mengangkat tema Warga Inovatif, Organisasi Produktif. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang, YH. Dato’ Haji Othman bin Nordin dan dihadiri seramai 350 peserta yang terdiri daripada Pegawai dan Kakitangan JKR Negeri Pahang.

Objektif utama penganjuran program adalah untuk memberi penghargaan kepada JKR Cawangan/Bahagian/Daerah Negeri Pahang yang telah mencapai kejayaan di peringkat kebangsaan pada tahun 2019. Pameran Teknikal yang diadakan sepanjang program turut disertai oleh pelbagai agensi termasuk Roadcare (M) Sdn Bhd. Selain itu, ceramah motivasi dan pameran teknikal turut berlangsung sepanjang program tersebut.

Antara anugerah yang diterima oleh JKR Cawangan/Bahagian/Daerah Negeri Pahang adalah:

  1. Tempat ke-3, bagi Kategori Pengurusan JKR Daerah Terbaik sempena Hari Inovasi Kementerian Kerja Raya 2019 yang telah diadakan di CREaTE, Melaka pada 31 Oktober 2019 (JKR Daerah Jerantut).
  2. Penganugerahan 5 bintang bagi kategori Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti 2018 (Bahagian Kewangan, JKR Pahang).
  3. Anugerah Harapan Inovasi Terbaik JKR 2019, Kumpulan Sinar dari Cawangan Kejuruteraan Elektrik dan Kumpulan Padu, dari Bahagian Pentadbiran & Kewangan.