Warga Protasco telah bersama-sama dalam majlis bacaan yasin dan tahlil yang diadakan pada 3 oktober 2019 untuk memperingati pemergian Allayarham YBhg Tan Sri Hadenan B A Jalil, Pengerusi Protasco Berhad.

Beliau yang pernah memegang jawatan sebagai Ketua Audit Negara telah menghembuskan nafas terakhir di usia 73 tahun pada tengah hari, 18 September2019 di kediamannya di Sungai Buloh.

Allahyarham meninggalkan isteri Puan Sri Faridah Abdul Hamid dan tiga orang anak. Allahyarham adalah lulusan Universiti Malaya dalam bidang ekonomi pada tahun 1970 sebelum memulakan kerjaya dalam pentadbiran dan diplomatik.

Karier awal beliau bermula di pelbagai kementerian termasuk sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Ketua Setiausaha di Kementerian Kerja Raya.

Selepas bersara daripada jawatan akhirnya sebagai Ketua Audit Negara, beliau yang juga anak kelahiran Melaka berkhidmat di beberapa syarikat seperti Unilever (M) Holding Sdn Bhd, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, PNB Commercial Sdn Bhd, Malayan Banking Bhd dan terkini, Protasco Berhad.

Kehadiran dan kepimpinannya akan terus menjadi ingatan semua. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.